Senin, 13 April 2009

Perkembangan tenunan di Indonesia dipercayai berkaitan dengan pendatang yang kebanyakannya terdiri dari pedagang-pedagang. Pedagang-pedagang dari Jawa, Kepulauan Maluku, Borneo dan Bugis telah memperkenalkan beberapa jenis kain tenunan. Beberapa corak tenunan yang dihasilkan di Terengganu dan di Kelantan misalnya telah diberi nama seperti tempat asal pedagang-pedagang tersebut. Dengan ini terdapat tenunan corak Samarenda (Borneo Timur), corak Bugis dan corak Palembang. Tenunan ini termasuk juga kain corak Muar dari Johor.

Tenun biasa ialah tenunan yang menghasilkan kain yang sering digunakan oleh golongan masyarakat biasa, terutama tenunan yang dibuat dari bahan benang kapas. Benang sutera juga digunakan tetapi harganya lebih mahal dari tenunan benang kapas. Tenunan kapas juga dipercayai merupakan tenunan pertama yang wujud di Kelantan dan ia lebih dikenali sebagai kain tenun balas dan setuli benang. Corak-coraknya juga sederhana disebabkan benang-benang masih terbatas warnanya. Pada masa yang sama iaitu kira-kira pada awal abad ke -18, masyarakat telah mengenali kain cindai, kain Bugis dan kain Acheh. Akan tetapi penenun tempatan mencipta corak-corak dengan menyusun benang-benang pada anian tanpa meniru kain-kain yang didatangkan dari luar.

Motif & Corak

Jenis-jenis tenunan ini juga disebut sebagai tenunan bercorak kerana tidak terdapat bentuk motif yang digunakan kecuali ruang, petak dan jaluran. Dari segi penciptaan ragamhias, tenunan ini termasuk dalam bentuk yang paling sederhana. Ragamhiasnya hanya terdiri dari corak dan sedikit bentuk motif berselitkan benang emas.

Kain bercorak yang terkenal ialah corak Muar dengan menggunakan warna-warna dari cahaya muda dalam bentuk susunan petak dam. Warna yang sering digunakan ialah kelabu, merah samar, jingga muda, putih, biru laut, hijau lumut dan kuning susu. Terdapat juga penggunaan caban benang emas yang menghasilkan bentuk motif garis halus atau kesan titik berbunga kecil, bertabur menghiasi ruang dan bidang-bidang bewarna. Bentuk motif yang terdapat pada kain tenun bercorak dikenali sebagai kain corak hujan panas iaitu kesan berkilat disebabkan oleh benang emas. Sedangkan garis lurus yang halus dari benang emas disebut sebagai tenun/songket selit. Kalau selitan ini terdapat pada bahagian kepala kain ia disebut corak beragi.

Kain corak Bugis selalunya dihiaskan dengan corak susunan catur yang sederhana tetapi terdapat banyak variasi/ragaman. Ruang kotak lebih kecil jika dibandingkan dengan kain corak Muar. Manakala warna yang digunakan sebagai latar ialah hijau atau merah.

Kain corak Samarenda umumnya dipenuhi dengan ruang lebar yang melintang serta berlatarkan warna gelap seperti ungu tua dan hitam sebagai tanah kain. Penggunaan benang loseng yang dicelup ikat akan menghasilkan corak 'tartan' atau bintik ular sawa, juga dikenali sebagai ragi bunga cuai. Beberapa corak lain yang sering dicipta ialah corak berdiri, melintang, mata bilis, siku keluang dan kisi-kisi. Jika dibandingkan corak ini dengan corak yang terdapat pada anyaman memang tidak banyak bezanya. Perbezaan jelas hanya terletak pada bahan asas yang digunakan serta proses penciptaan.

Proses Pembuatan

Proses penciptaannya mengikut dasar tenunan tetapi tanpa teknik menyulam. Corak-corak kain ditentukan oleh benang-benang loseng yang telah disusun sejak proses mengani. Penggunaan warna benang loseng dan pakan akan menentukan serta menimbulkan corak geometri asli dengan bentuk kotak persegi atau persegi panjang, garis lurus dan melintang.

0 komentar:

Posting Komentar